| Pengenalan HAKIM |
|
|
|
| Written by HAKIM Administrators |
| Tuesday, 02 March 2010 08:51 |
|
Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) merupakan sebuah organisasi yang diurustadbir oleh syarikat Himpunan Keilmuan Muda Sdn Bhd serta mempunyai gagasan dan misi yang bersifat ilmiah dan intelektual. Dengan berteraskan prinsip 'ilmu adalah keutamaan tertinggi' dan berbekalkan semangat ingin mengembalikan kegemilangan tradisi dan budaya Ilmu Islam perkumpulan ini sejak tahun 2002 telah secara berterusan telah menjalankan majlis perbincangan ilmiah dengan cara menjemput para pembentang dari luar, menelaah dan menekuni beberapa karya penting dalam pemikiran Islam di samping pembentangan tajuk-tajuk tertentu dari kalangan ahli-ahli HAKIM sendiri. Penubuhan HAKIM adalah berlatarbelakangkan keprihatinan terhadap kemelut pemikiran dan ilmu yang berlaku di kalangan generasi muda dewasa ini. Di asak dengan budaya mengejar diploma dan tuntutan kerjaya ditambah dengan budaya hiburan dan lepas bebas yang melampau, generasi muda terutama golongan mahasiswa telah tidak lagi serius dalam menekuni ilmu. Mereka telah kehilangan kekuatan berfikir dan keupayaan menganalisa secara pelbagai isu dan faham yang timbul di kalangan masyarakat. Mereka tidak lagi berminat untuk membahaskan mauduk-mauduk yang serius jauh sekali untuk menghasilkan ide-ide besar yang mampu menawarkan penyelesaian terhadap pelbagai kemelut yang melingkari masyarakat Islam. Generasi muda tidak lagi menjadi tunjang kepada pembinaan tamadun pemikiran dan sekiranya ini tidak selesaikan, maka masa depan tamadun ilmu Islam berada di dalam keadaan yang amat genting dan membimbangkan. Penubuhan HAKIM adalah usaha proaktif bagi mengatasi masalah ini dari berterusan. Walaupun penubuhan ini bermula dengan dalam bentuknya yang kecil, namun ia diharapkan dapat memulakan satu arus baru dalam kebangkitan semula generasi muda yang kukuh asas pemikirannya seterusnya membawa kepada kejayaan dalam pembinaan semula tamadun ilmu Islam.
DR. MOHD. FARID BIN MOHD. SHAHRAN |
| Last Updated on Tuesday, 02 March 2010 10:18 |
Pengenalan HAKIM


